Rabu, 14 Mei 2014

Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah SWT Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga

Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah SWT Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga



17  Diriwayatkan daripada Ubadah bin As-Somit r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: Asyhadu Anlaa Ilaaha Illallaahu Wahdahuu Laa Syariikalah Wa Anna Muhammadan 'Abduhuu Warasuuluh dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah iaitu Nabi Isa a.s dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada Mariam dan juga tiupan roh daripadaNya, serta bersaksi bahawa balasan Syurga adalah pasti begitu juga balasan Neraka adalah pasti di mana Allah akan memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Syurga melalui salah satu dari lapan pintu Syurga sebagaimana yang dikehendakinya


18  Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal r.a katanya:

Pernah aku mengekori Nabi s.a.w dalam satu perjalanan di mana aku berada di belakang baginda. Baginda memanggil: Wahai Muaz bin Jabal! Aku terus menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan. Kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Kami meneruskan lagi perjalanan kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut lagi: Telah keterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tahukah kamu kewajipan manusia terhadap Allah? Aku menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Kewajipan manusia terhadap Allah ialah dengan mengabdikan diri kepadaNya tanpa menyekutukanNya. Kami meneruskan lagi perjalanan beberapa ketika kemudian baginda memanggil lagi: Wahai Muaz bin Jabal! Aku menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah engkau apakah kewajipan Allah terhadap manusia apabila mereka melakukan perkara-perkara yang aku nyatakan di atas? Aku menjawab: Allah dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Akhirnya baginda bersabda: Allah tidak akan menyiksa mereka


19  Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:

Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: Laa Ilaaha Illallaah Wa Anna Muhammadan 'Abduhuu Warasuuluh nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah


20  Hadis Itban bin Malik r.a:

Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Kata beliau: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musalla iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para Sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para Sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para Sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: Laa Ilaaha Illallaah Wa Anna Muhammadan 'Rasuulullaah. Para Sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Facebook Comments