Menyirikan Allah Merupakan Seburuk-buruk Dosa Dan
Keterangan Tentang Dosa-dosa Yang Lalu Selepasnya
52 Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:
Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah
dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau
menjadikan iaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah
yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar.
Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana
bimbang dia makan bersamamu iaitu makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa
lagi? Rasulullah s.a.w bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu
Dosa-dosa Besar dan Yang Paling Besar
53
Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:
Ketika kami
bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada
kamu sebesar-besar dosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah,
mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. Semasa
Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk. Baginda terus
mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga baginda berhenti dari menyebut
Hadis tersebut
54
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:
Nabi s.a.w pernah
menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah,
mengherdik kedua-dua ibubapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu
55
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah telah
bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan
kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah. Para Sahabat bertanya: Wahai
Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah
iaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang
diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan
harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang
baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan
yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang
beriman dengan Allah dan RasulNya dengan fitnah melakukan perbuatan zina
56
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya:
Rasulullah s.a.w
bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang
tuanya. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang
lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya.
Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu
memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu
seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya
Tidak ada komentar:
Posting Komentar